MIRI: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Zohari Tun Openg menghadiri Majlis Perasmian Penggerudian Pertama di Pantai Blok SK433 di Grand Old Lady, Canada Hills Miri hari ini.
Aktiviti cari gali minyak dan gas di darat (onshore) dihidupkan semula selaras dengan matlamat kerajaan Sarawak di bawah Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.
Beliau berkata, gas asli yang diterokai di SK433 yang baru memulakan operasinya di Medan Adong Kechil Barat akan dibekalkan ke Hab Miri sebagai sebahagian daripada Pelan Hala Tuju Gas Sarawak (SGR).
“Loji jana kuasa Turbin Gas Kitaran Gabungan (CCGT) 400 Megawatt telah memulakan kerja tanah di Lutong Miri dan kini berada di landasan untuk memulakan operasi pada tahun 2027,” katanya.
Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) and PETRA Energy Berhad (PETRA) telah memulakan penggerudian darat pertamanya di blok SK433, Miri yang menandakan satu peristiwa penting bagi Kontrak Petroleum Dalam Pesisir sulung yang telah dianugerahkan pada Julai 2021 kepada PETROS di bawah Ordinan Perlombongan Minyak (OMO) 1958.
Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari menambah, penggerudian tersebut akan diteruskan di kawasan berhampiran Limbang dan Lawas di Blok SK334 yang mana ia akan bermula pada tahun 2025.
Selain itu ujarnya, dengan pelaksanaan Penyelesaian Karbon Rendah (LCS), Sarawak boleh terus mengembangkan ekonomi sosial sambil melindungi alam sekitar sekali gus mencapai (aspirasi pelepasan karbon) sifar bersih menjelang 2050.
“Sarawak mempunyai ramuan utama LCS termasuk kapasiti kuasa hidro terbesar di Malaysia, lebih 60 peratus rizab gas dan lebih 60 peratus sumber penangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS).
“Dengan gabungan semua kelebihan semula jadi kita, saya percaya cadangan LCS Sarawak jauh melebihi metrik sosioekonomi yang disebutkan sebelum ini. Ia akan menjadi hab pertumbuhan baharu untuk Malaysia malah di Asia,” katanya.
Dalam pada itu, Premier Sarawak turut mencadangkan Adong Kechil Barat ditukarkan kepada Grand New Lady di Sarawak.
Hadir sama, Timbalan-Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Dato Sri Profesor Dr Sim Kui Hian, Pengerusi PETROS, Tan Sri Datuk Amar (Dr) Hamid Bugo, Penasihat dan Pengasas OBYU Holdings, Tan Sri Dato Sri Bustari Yusuf, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETRA, Dato’ Anthony Firdauz Bujang, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan), Datu Dr Muhammad Abdullah Zaidel, Residen Bahagian Miri, Jamalie Busri, Timbalan-Timbalan Menteri, Ketua-Ketua Jabatan dan dif-dif kehormat yang lain.
Sumber dari : Sarawakku